Sunday, June 28, 2020

Keterangan BBM PUZZLE

Bahan bantuan mengajar yang dibina adalah berpandukan kepada satu unit daripada subjek Keterampilan Membaca iaitu Unit 6. Berdasarkan unit tersebut, kami telah mencipta satu bahan bantuan mengajar dalam bentuk permainan puzzle suku kata yang dinamakan sebagai puzzle "Jom Baca". Bahan bantuan mengajar yang dibina berfokuskan kepada aspek pengenalan pelajar kepada suku kata.
       
       Suku kata merupakan komponen penting kepada pelajar untuk mahir dalam membaca. Permulaan bagi pelajar untuk memiliki kemahiran dalam membaca adalah menerusi pengenalan kepada suku kata. Dalam Bahasa Melayu, terdapat dua pola suku kata iaitu suku kata asli Bahasa Melayu dan suku kata pinjaman Bahasa Melayu. Setiap suku kata terdiri daripada beberapa huruf vokal(V) dan huruf konsonan(K). 

Jenis Pola Suku Kata 

         Dalam Bahasa Melayu, setiap perkataan boleh terdiri daripada satu suku kata atau beberapa suku kata. Setiap suku kata boleh terdiri daripada satu vokal(V) sahaja, satu vokal(V) disertai konsonan(K) atau satu vokal(V) disertai beberapa konsonan(K). Konsonan hadir di hadapan atau di belakang vokal dan juga boleh hadir serentak di hadapan atau di belakang vokal. Terdapat juga konsonan yang hadir secara bergugusan (KK). 

          Bahan bantuan mengajar yang dinamakan puzzle "Jom Baca" dibina berpandukan kepada salah satu subtopik dalam Unit 6 iaitu Teknik Membaca Gema. Teknik membaca gema bertujuan untuk meningkatkan kefasihan pelajar yang mempunyai masalah dalam bacaan. Bahan bacaan yang dipilih bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada kefasihan serta meningkatkan pemahaman akan subjek yang diajar.

     Teknik membaca gema melibatkan pelbagai pancaindera dan deria pelajar. Penglibatan deria seperti deria mendengar, bertutur, melihat dan juga menyentuh menjadikan proses pembelajaran pelajar semakin mudah dari satu peringkat ke peringkat seterusnya. Teknik-teknik yang lain mempunyai motif dan objektif untuk meningkatkan kemahiran dan kefasihan pelajar untuk membaca. Begitu juga halnya dengan teknik membaca gema yang bertujuan untuk meningkatkan kefasihan dan kemahiran membaca pelajar bermula daripada peringkat yang mudah ke peringkat yang sederhana dan seterusnya apabila pelajar semkin mahir maka pelajar akan melangkah ke peringkat yang kompleks dan sukar.

Deria manusia.

Teknik membaca gema melibatkan pancainera mata, kulit, telinga.


       Berdasarkan bahan bantuan mengajar yang telah dibina, teknik membaca gema merupakan teknik yang paling bersesuain untuk dijadikan rujukan. Teknik membaca gema memerlukan guru dan pelajar saling berinteraksi antara satu sama lain. Guru akan bertindak menjadi fasilitator atau pembimbing kepada pelajar yang kurang fasih dalam pembacaan. Pelajar akan mengikut setiap arahan yang guru keluarkan dengan teliti supaya lebih memahami apa yang dipelajari. Bahan bantuan mengajar yang dibina adalah dalam bentuk puzzle dan mampu menarik minat pelajar untuk terus membaca. Dalam melatih atau mendidik pelajar yang lemah dalam pembacaan, pengekalan minat pelajar terhadap sesuatu bahan bacaan adalah amat penting. Sekiranya pelajar kehilangan fokus ketika proses membaca bersama guru, pelajar tidak akan dapat memahami apa yang telah dibacanya.

         Teknik membaca gema bertujuan untuk membantu pelajar yang kurang mahir dan mempunyai kesukaran dalam proses membaca. Oleh itu, bahan bantuan mengajar yang dibina berfokuskan kepada pelajar yang berada di tahap satu iaitu pelajar dalam lingkungan umur tujuh tahun sehingga sembilan tahun. Teknik membaca gema diaplikasikan dalam pembinaan bahan bantuan mengajar ini dengan tujuan untuk memperkenalkan kaedah pembelajaran baharu yang memfokuskan kepada corak pembelajaran yang menjurus kepada corak bacaan yang lancar.

         Bahan bantuan mengajar yang dibina sangat bersesuaian digunakan oleh guru untuk mengajar pelajar dalam subjek bahasa Melayu kerana bahan bantuan mengajar yang dibina adalah berfokuskan kepada aspek pengenalan kepada suku kata. Dalam subjek Bahasa Melayu, guru akan membimbing pelajar untuk membaca petikan yang disediakan secara bersama-sama seterusnya mengarahkan pelajar untuk melengkapkan puzzle "Jom Baca". Walau bagaimanapun, guru perlu memberi perhatian yang lebih kepada pelajar yang mengalami masalah ketika proses membaca dijalankan. Guru akan bertindak sebagai fasilitator kepada pelajar yang kurang mahir membaca dengan cara bersama-sama pelajar tersebut membaca petikan. Pada permulaannya guru tersebut akan membaca lebih laju daripada pelajar untuk membimbing pelajar supaya pelajar mendapat hala tuju dan fokus yang betul terhadap bahan bacaan yang diberikan. Setelah pelajar mahir atau menunjukkan perubahan, guru hanya perlu membimbing bacaan pelajar dengan cara membaca secara perlahan dan menggunakan jari atau pembaris untuk menunjukkan barisana atau ayat mana yang perlu dibaca oleh pelajar.

No comments:

Post a Comment