Monday, June 29, 2020

KEBAIKAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR


Setiap daripada bahan bantuan mengajar yang dihasilkan pasti mendatangkan kesan yang positif kepada kedua-dua pihak sama ada guru ataupun di pihak pelajar itu sendiri. Begitu juga halnya dengan bahan bantuan mengajar yang telah kumpulan kami bina. Bahan bantuan mengajar yang diberi nama puzzle "Jom Baca" merupakan satu bahan bantuan mengajar yang dibina berlandaskan kepada satu teknik yang terdapat dalam unit 6 iaitu teknik membaca gema. Dalam setiap penghasilan bahan bantuan mengajar pasti mendatangkan hasil begitu juga dengan bahan bacaan yang diberi nama puzzle "Jom Baca" ini.

          Berdasarkan kepada teknik baca gema, teknik ini adalah bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada ketepatan dan kefasihan dalam proses pembacaan. Bersesuaian dengan bahan bantuan mengajar yang telah dibina. Permainan puzzle "Jom Baca" bertujuan untuk mendidik pelajar membaca bermula daripada komponen yang paling mudah dalam bahasa melayu iaitu suku kata. Seperti yang ditunjukkan bahan bantuan mengajar yang dibina adalah untuk mendedahkan pelajar kepada suku kata yang mudah. Dengan wujudnya imej atau gambar yang ditampal pada kad manila, pelajar perlu menyesuaikan suku kata yang betul setelah pembacaan teks bersama guru dilakukakan. 

Salah satu idea untuk rekaan puzzle yang boleh dijadikan BBM


      Pada peringkat permulaan, permainan puzzle "Jom Baca" memerlukan guru bersama-sama dengan pelajar untuk membaca teks yang telah disediakan bersama-sama dalam keadaan guru duduk berhadapan dengan pelajar sambil bahan bacaan yang mengandungi teks tersebut dipegang secara bersama. Teknik baca gema adalah sangat bersesuaian diaplikasikan kepada pelajar yang lemah dan kurang menguasai kemahiran membaca. Maka guru yang bertindak sebagai fasilitator akan membantu pelajar dengan cara membaca serentak bersama pelajar bahan bacaan yang disediakan tetapi dalam kadar yang lebih cepat pembacaannya dibandingkan dengan pelajar. Dalam masa yang sama guru akan menggunakan nada suara yang agak kuat agar pelajar memahami setiap butir bicara yang guru bacakan.

         Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar telah menguasai sedikit demi sedikit bahan bacaan guru yang bertindak sebagai fasilitator akan mengubah rentak bacaannya dengan nada yang lebih lembut dan kadar bacaan yang sedikit ketinggalan daripada pelajar. Berdasarkan teknik baca gema dan perkaitan dengan bahan bantuan mengajar yang dibina, guru dan pelajar akan lebih kerap berinteraksi. Hal ini juga akan menjadikan pelajar lebih berasa termotivasi untuk tampil dengan berani bercakap atau bertanya dengan guru. Dalam pada masa yang sama, kemahiran sosial pelajar juga akan semakin meningkat dari semasa ke semasa. 

        Di samping itu, bahan bantuan mengajar yang dibina sangat menitikberatkan kepada penyebutan suku kata yang betul dan jelas. Ini dapat dilihat pada peringkat di mana guru dan pelajar membaca teks yang sama secara berulang kali sehingga pelajar tersebut fasih dalam pembacaannya. Pelajar perlu sentiasa mengulangi apa yang dipelajarinya sehingga lebih faham. Maka di sini bimbingan guru amatlah penting kerana guru menjadi fasilitator untuk pelajar lebih fokus dalam bacaannya. Bahan bantuan mengajar yang dibina juga dalam berada dalam bentuk yang menarik kerana mempunyai gambar dan imej yang menarik serta warna yang pelbagai. Pelajar yang berumur tujuh tahun sehingga sembilan tahun sememangnya sangat tertarik akan perkara yang menarik, berwarna-warni dan dalam bentuk permainan. Hal ini akan menjadikan pelajar lebih fokus dan berminat untuk meneruskan pembacaan dan bersesuaian dengan manfaat bahan bantuan mengajar ini dibina iaitu untuk mengekalkan minat pelajar terhadap bahan bacaan.

          Tambahan pula, bahan bantuan mengajar yang dibina adalah berada pada aras yang rendah iaitu pada tahap pembacaan suku kata sahaja. Bersesuaian dengan teknik baca dan gema yang memerlukan guru untuk menyediakan bahan bacaan yang berada di tahap rendah dan sekiranya pelajar semakin mahir maka bahan bacaan tersebut akan dinaik taraf ke tahap yang lebih tinggi secara berperingkat-peringkat. Guru akan memberi arahan terlebih dahulu supaya pelajar tidak berasa terbeban untuk menghabiskan bahan bacaan dan mengenai soalan yang disediakan. Peranan guru sangat penting supaya pelajar berani untuk menyuarakan masalah yang mereka hadapi. Apabila pelajar berani menyuarakan masalah yang dihadapi, guru akan bertindak memikirkan cara yang bersesuaian untuk menyeselaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, jika pelajar tersebut kurang berminat dalam aktiviti bacaan yang bersifat terlampau panjang dan kompleks, guru perlu menguna pakai bahan bantuan mengajar yang menarik. Bahan bantuan mengajar permainan puzzle "Jom Baca" sangat bersesuaian untuk diaplikasikan kerana pelajar hanya perlu memahami bahan bacaan serta meneliti setiap patah perkataan dengan baik dan cermat.

         Berdasarkan teknik baca gema, guru akan meletakkan jari bawah perkataan dan bergerak seiring supaya pelajar lebih fokus. Dengan cara meletakkan jari di bawah perkataan yang dibaca pelajar akan berhasil secara perlahanlahan untuk mengenal pasti suku kata setiap perkataan dengan baik. Sekiranya pelajar sukar untuk memahami atau salah dalam membentuk suku kata, maka guru boleh memberi peneguhan serta merta dengan cara meningkatkan nada bacaan dan kadar kelajuaan bacaannya. Hal ini akan memberikan kesan positif kepada pelajar kerana mereka berjaya menggunakan deria yang ada semaksimum yang mungkin terutama sekali deria pendengaran (aural) dan deria penglihatan (visual). Oleh itu, jelas dapat dikenal pasti bahawa bahan bantuan mengajar yang diberi nama permainan puzzle "Jom Baca" mendatangkan kesan yang baik kepada pelajar secara berperingkatperingkat dan akhirnya membuahkan hasil yang baik. Pelajar akan lebih fokus dan mampu meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam proses membaca serta secara tidak langsung mampu membantu menambahkan lagi kemahiran sosial pelajar.  

No comments:

Post a Comment