Pertama sekali, pemilihan bahan bantuan mengajar yang sesuai sangat mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran terutama pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar ini menurut pendapat Lawson et al. (1975) , menggunakan kaedah berpusatkan pelajar bukanlah aktiviti yang mudah, kerana guru harus menjadi perancang yang teliti untuk menghasilkan bahan bagi melaksanakan proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, namun dengan kebijaksanaan para guru sudah pasti cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi.
Oleh itu, terdapat beberapa kepentingan yang boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahan bantuan mengajar ini kepada guru dan juga murid-murid. Antaranya ialah, penting bagi guru untuk meningkatkan kefahaman murid-murid dalam sesi pembelajaran. Guru dapat menggunakan dan mengaplikasikan bahan bantuan mengajar yang telah dihasilkan bertujuan untuk menambahkan kelancaran dan meningkatkan perhubungan komunikasi antara guru dengan murid-murid. Pembelajaran yang berkesan adalah terdiri daripada komunikasi di antara dua hala yang melibatkan guru memberikan maklumat manakala murid-murid bertanyakan soalan ataupun melibatkan diri mereka untuk aktiviti dalam pembelajaran dengan menggunakan bahan bantuan mengajar yang telah digunakan mengikut kesesuaian mata pelajaran yang diajar.
Seterusnya, bahan bantuan mengajar juga adalah sangat penting dan secara tidak langsung dapat membantu para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana, dalam pengajaran murid-murid akan menerima rangsangan daripada guru melalui pancainderanya. Apabila guru menyentuh dan menggunakan setiap pancaindera yang dimiliki oleh murid tersebut maka pembelajaran yang berlangsung di dalam bilik darjah akan menjadi lebih aktif. Oleh sebab itu, sesuatu perkara yang dapat dilihat dan didengar adalah lebih baik dan lebih berkesan daripada hanya melibatkan deria pendengaran sahaja. Jelaslah bahawa, sesuatu yang dapat dipegang, dilihat dan didengari adalah lebih berkesan daripada menggunakan daya pendengaran dan daya penglihatan sahaja.
Di samping itu, bahan bantuan mengajar ini dapat memberi kepentingan juga terhadap murid-murid. Apabila guru mengajar berbantukan bahan yang menarik maka dapat menarik perhatian, memberi rangsangan dan mengekalkan minat murid dalam aktiviti pembelajaran. Bahan bantuan mengajar yang berkualiti dan digunakan dengan baik akan dapat mengekalkan semangat murid untuk belajar. Murid-murid akan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isi pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Murid-murid akan berasa kurang berminat sekiranya sesuatu pembelajaran itu hanya tertumpu pada buku teks sahaja. Oleh itu, penggunaan bahan bantuan mengajar yang sesuai juga akan dapat mengekalkan minat murid-murid untuk sentiasa terus memberikan tumpuan kepada pengajaran guru di dalam bilik darjah.
Kesimpulannya, bahan bantuan mengajar sememangnya mempunyai kepentingan bukan sahaja kepada para guru, malah juga dimiliki oleh murid-murid. Penggunaan bahan bantuan mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membina pemikiran yang berterusan, meningkatkan tahap kefahaman dan membantu membaiki perbendaharaan kata murid-murid serta mendorong murid-murid untuk menyiasat sesuatu perkara melalui peningkatan lagi aktiviti bacaan mereka supaya dapat memberi pengalaman baharu dan seterusnya menjadikan pembelajaran lebih mendalam.
No comments:
Post a Comment