Monday, June 29, 2020

Rujukan

Aktiviti PdP – Main Puzzle (2014). Diperoleh pada Jun 23, 2020 daripada https://youtu.be/ bAApcolxaDg

Asmawati Mohamad Ali, Norizal Abdul Karim@SAB, Anita Mohamed, Noraihan Ismail. (2018). Aplikasi Gaya Pengajaran dan Pembelajaran Aktif dalam Subjek Kemahiran Dinamika bagi Merealisasikan Pendidikan Abad ke-21. Jurnal Sains Humanika. 10:3-2 (2018):47-55

Lawson, A.E & Renner, J.W. (1975). Relationship of Science Subject Matter and Developmental Levels of Learners. Journal of research in Science Teaching. 12(4): 347-358.

Media Simulasi Kreatif “Papan Main” (main puzzle, main susun suku kata, main susun kata” (2020). Diperoleh pada Jun 23, 2020 daripada https://youtu.be/4h0qEVjKEUc

Dahlia Janan, Idris Mohd Radzi & Makmur Haji Harun (2014). Modul Keterampilan Membaca. Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan: Fakulti Bahasa dan Komunikasi (UPSI)

Rumusan


Teknik membaca gema dengan bahan bantuan mengajar permainan puzzle suku kata "Jom Baca" saling mempunyai perkaitan yang ketara. Tujuan teknik membaca gema yang bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada ketepatan dan kefasihan dalam pembacaan seiring dengan tujuan bahan bantuan mengajar ini dibina iaitu untuk mendedahkan pelajar kepada suku kata dan membantu pelajar mengenali suku kata selain daripada untuk membantu pelajar memahami bahan bacaan yang disediakan. 

      Selain daripada itu, bahan bantuan mengajar yang dibina juga adalah untuk membantu pelajar yang kurang mahir dalam bacaan supaya mereka dapat meningkatkan kemahiran membaca dengan cara yang mudah. Tambahan pula, bahan bahan bantuan mengajar ini adalah berfokuskan kepada pelajar yang berusia daripada tujuh tahun sehingga sembilan tahun. Pendedahan awal kepada suku kata akan menjadikan pelajar mudah untuk menguasai kemahiran membaca. 

     Di samping itu, bahan bantuan mengajar yang dibina adalah berada di tahap yang rendah dan mudah untuk difahami oleh pelajar. Maka objektif bahan bantuan mengajar ini dibina akan tercapai sekiranya pelajar mampu menguasai kemahiran membaca setelah mengguna pakai bahan bantuan mengajar permainan puzzle suku kata "Jom Baca".

Kepentingan Bahan Bantu Mengajar


Pertama sekali, pemilihan bahan bantuan mengajar yang sesuai sangat mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran terutama pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar ini menurut pendapat Lawson et al. (1975) , menggunakan kaedah berpusatkan pelajar bukanlah aktiviti yang mudah, kerana guru harus menjadi perancang yang teliti untuk menghasilkan bahan bagi melaksanakan proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, namun dengan kebijaksanaan para guru sudah pasti cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi.

     Oleh itu, terdapat beberapa kepentingan yang boleh dilihat berdasarkan penggunaan bahan bantuan mengajar ini kepada guru dan juga murid-murid. Antaranya ialah, penting bagi guru untuk meningkatkan kefahaman murid-murid dalam sesi pembelajaran. Guru dapat menggunakan dan mengaplikasikan bahan bantuan mengajar yang telah dihasilkan bertujuan untuk menambahkan kelancaran dan meningkatkan perhubungan komunikasi antara guru dengan murid-murid. Pembelajaran yang berkesan adalah terdiri daripada komunikasi di antara dua hala yang melibatkan guru memberikan maklumat manakala murid-murid bertanyakan soalan ataupun melibatkan diri mereka untuk aktiviti dalam pembelajaran dengan menggunakan bahan bantuan mengajar yang telah digunakan mengikut kesesuaian mata pelajaran yang diajar.

         Seterusnya, bahan bantuan mengajar juga adalah sangat penting dan secara tidak langsung dapat membantu para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana, dalam pengajaran murid-murid akan menerima rangsangan daripada guru melalui pancainderanya. Apabila guru menyentuh dan menggunakan setiap pancaindera yang dimiliki oleh murid tersebut maka pembelajaran yang berlangsung di dalam bilik darjah akan menjadi lebih aktif. Oleh sebab itu, sesuatu perkara yang dapat dilihat dan didengar adalah lebih baik dan lebih berkesan daripada hanya melibatkan deria pendengaran sahaja. Jelaslah bahawa, sesuatu yang dapat dipegang, dilihat dan didengari adalah lebih berkesan daripada menggunakan daya pendengaran dan daya penglihatan sahaja.

        Di samping itu, bahan bantuan mengajar ini dapat memberi kepentingan juga terhadap murid-murid. Apabila guru mengajar berbantukan bahan yang menarik maka dapat menarik perhatian, memberi rangsangan dan mengekalkan minat murid dalam aktiviti pembelajaran. Bahan bantuan mengajar yang berkualiti dan digunakan dengan baik akan dapat mengekalkan semangat murid untuk belajar. Murid-murid akan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isi pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Murid-murid akan berasa kurang berminat sekiranya sesuatu pembelajaran itu hanya tertumpu pada buku teks sahaja. Oleh itu, penggunaan bahan bantuan mengajar yang sesuai juga akan dapat mengekalkan minat murid-murid untuk sentiasa terus memberikan tumpuan kepada pengajaran guru di dalam bilik darjah.

          Kesimpulannya, bahan bantuan mengajar sememangnya mempunyai kepentingan bukan sahaja kepada para guru, malah juga dimiliki oleh murid-murid. Penggunaan bahan bantuan mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membina pemikiran yang berterusan, meningkatkan tahap kefahaman dan membantu membaiki perbendaharaan kata murid-murid serta mendorong murid-murid untuk menyiasat sesuatu perkara melalui peningkatan lagi aktiviti bacaan mereka supaya dapat memberi pengalaman baharu dan seterusnya menjadikan pembelajaran lebih mendalam.  

KEKURANGAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR


Apabila menyebut tentang menyediakan alat bantuan bahan mengajar sudah pasti tidak ada kelihatan sesuatu kekurangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, bahan bantuan mengajar adalah berfungsi sebagai untuk menutup sebahagian kekurangan yang terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku secara langsung di dalam bilik darjah. Bahan bantuan mengajar jika dilihat dengan mata kasar dan digunakan dalam masa yang pendek sememangnya tidak mempunyai sebarang kelemahan tetapi ianya menampakkan kekurangan itu boleh dilihat dalam beberapa perkara antaranya ialah seperti berikut. Kelemahan yang dapat dilihat adalah untuk menyediakan bahan bantuan mengajar ini memerlukan masa yang panjang. Hal ini adalah kerana, untuk mendapatkan hasil yang menarik guru perlu teliti dan sentiasa berhati-hati ketika menyiapkan bahan bantuan mengajar tersebut.

          Terdapat beberapa bahan bantuan mengajar yang memerlukan tenaga guru untuk menghasilkan lakaran sebelum membuat sesuatu bahan bantuan mengajar yang sesuai untuk digunakan. Oleh itu, guru amat memerlukan masa yang banyak untuk menghasilkan bahan bantuan mengajar yang berkesan untuk dipersembahkan kepada murid-murid. Jika berlaku kesuntukan masa, maka guru akan bertindak untuk segera menyiapkan bahan bantuan mengajar dalam bentuk yang tidak sempurna dan kemungkinan isi yang ingin dipersembahkan dalam bentuk menggunakan bahan bantuan mengajar ini tidak dapat disampaikan dengan begitu efektif dan menyeluruh. Seterusnya, bahan bantuan mengajar yang dihasilkan dalam bentuk bukan elektronik seperti menggunakan kertas minyak, majalah, gambar, surat khabar dan sebagainya sudah pasti tidak akan tahan lama. Bahan-bahan yang digunakan adalah terdiri daripada kertas mahupun kotak akan mendatangkan kesan sekiranya tidak dijaga dengan baik. Umumnya mengetahui bahawa apabila kertas terkena air maka sudah tentu kertas itu akan menyebabkan kerosakan.

         Oleh sebab itu, guruguru terpaksa menyediakan semula bahan bantu mengajar yang sama untuk dipersembahkan di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Secara tidak langsung, guru juga perlu mencari alternatif lain bagi menggantikan penggunaan kertas kepada bahan yang tidak mudah mengalami kerosakan dan boleh digunakan dengan lebih tahan lama. Bukan itu sahaja, bahan bantuan mengajar ini mempunyai kelemahan dari segi penghasilan bahan bantuan mengajar di mana guru menyediakan gambar bagi memudahkan murid-murid untuk mengenal dan mengingati dengan lebih jelas. Namun, murid-murid akan menggambarkan dan memikirkan bahan maujud yang ditunjukkan oleh guru tersebut sebagai objek sebenar dan bukanlah sebagai gambar. Contohnya, replika meja yang dilihatnya adalah mirip sebuah meja yang sebenar. Maka, memberi kesan kepada murid yang bermasalah dalam pembelajaran, keupayaan mereka untuk berimaginasi mungkin tidak sebaik murid yang normal.

        Oleh itu, keadaan ini memerlukan guru yang lebih pakar untuk menerangkan dengan lebih kreatif dan berkesan kepada murid yang bermasalah tersebut. Di samping itu, untuk menghasilkan sesuatu bahan bantuan mengajar guru terpaksa mengeluarkan kos untuk pembelian barang maujud untuk menghasilkan bahan bantuan mengajar yang sesuai untuk digunakan dan menghasilkan mengikut silibus yang ingin di ajar di dalam bilik darjah. Oleh sebab itu, menjadi salah satu kepada kelemahan dalam menghasilkan bahan bantuan mengajar kerana guru tidak diberikan bantuan dalam bentuk wang untuk menyediakan bahan bantuan mengajar tersebut. Guru-guru perlu menggunakan wang dari poket sendiri untuk memastikan bahawa proses pengejaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan mudah disampaikan dengan adanya penggunaan bahan bantuan mengajar tersebut.

         Kesimpulannya, beberapa kekurangan bahan bantuan mengajar yang dihadapi oleh guruguru dan murid di sekolah perlu ditangani supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih sempurna. Oleh sebab itu, sebagai seorang guru perlu membaiki kelemahan yang terdapat di dalam bahan bantuan mengajarnya dari semasa ke semasa supaya kelemahan yang dimiliki dapat diatasi dengan lebih baik. Guru juga haruslah sentiasa prihatin dan memahami kehendak yang diperlukan oleh murid-murid dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.  

KEBAIKAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR


Setiap daripada bahan bantuan mengajar yang dihasilkan pasti mendatangkan kesan yang positif kepada kedua-dua pihak sama ada guru ataupun di pihak pelajar itu sendiri. Begitu juga halnya dengan bahan bantuan mengajar yang telah kumpulan kami bina. Bahan bantuan mengajar yang diberi nama puzzle "Jom Baca" merupakan satu bahan bantuan mengajar yang dibina berlandaskan kepada satu teknik yang terdapat dalam unit 6 iaitu teknik membaca gema. Dalam setiap penghasilan bahan bantuan mengajar pasti mendatangkan hasil begitu juga dengan bahan bacaan yang diberi nama puzzle "Jom Baca" ini.

          Berdasarkan kepada teknik baca gema, teknik ini adalah bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada ketepatan dan kefasihan dalam proses pembacaan. Bersesuaian dengan bahan bantuan mengajar yang telah dibina. Permainan puzzle "Jom Baca" bertujuan untuk mendidik pelajar membaca bermula daripada komponen yang paling mudah dalam bahasa melayu iaitu suku kata. Seperti yang ditunjukkan bahan bantuan mengajar yang dibina adalah untuk mendedahkan pelajar kepada suku kata yang mudah. Dengan wujudnya imej atau gambar yang ditampal pada kad manila, pelajar perlu menyesuaikan suku kata yang betul setelah pembacaan teks bersama guru dilakukakan. 

Salah satu idea untuk rekaan puzzle yang boleh dijadikan BBM


      Pada peringkat permulaan, permainan puzzle "Jom Baca" memerlukan guru bersama-sama dengan pelajar untuk membaca teks yang telah disediakan bersama-sama dalam keadaan guru duduk berhadapan dengan pelajar sambil bahan bacaan yang mengandungi teks tersebut dipegang secara bersama. Teknik baca gema adalah sangat bersesuaian diaplikasikan kepada pelajar yang lemah dan kurang menguasai kemahiran membaca. Maka guru yang bertindak sebagai fasilitator akan membantu pelajar dengan cara membaca serentak bersama pelajar bahan bacaan yang disediakan tetapi dalam kadar yang lebih cepat pembacaannya dibandingkan dengan pelajar. Dalam masa yang sama guru akan menggunakan nada suara yang agak kuat agar pelajar memahami setiap butir bicara yang guru bacakan.

         Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar telah menguasai sedikit demi sedikit bahan bacaan guru yang bertindak sebagai fasilitator akan mengubah rentak bacaannya dengan nada yang lebih lembut dan kadar bacaan yang sedikit ketinggalan daripada pelajar. Berdasarkan teknik baca gema dan perkaitan dengan bahan bantuan mengajar yang dibina, guru dan pelajar akan lebih kerap berinteraksi. Hal ini juga akan menjadikan pelajar lebih berasa termotivasi untuk tampil dengan berani bercakap atau bertanya dengan guru. Dalam pada masa yang sama, kemahiran sosial pelajar juga akan semakin meningkat dari semasa ke semasa. 

        Di samping itu, bahan bantuan mengajar yang dibina sangat menitikberatkan kepada penyebutan suku kata yang betul dan jelas. Ini dapat dilihat pada peringkat di mana guru dan pelajar membaca teks yang sama secara berulang kali sehingga pelajar tersebut fasih dalam pembacaannya. Pelajar perlu sentiasa mengulangi apa yang dipelajarinya sehingga lebih faham. Maka di sini bimbingan guru amatlah penting kerana guru menjadi fasilitator untuk pelajar lebih fokus dalam bacaannya. Bahan bantuan mengajar yang dibina juga dalam berada dalam bentuk yang menarik kerana mempunyai gambar dan imej yang menarik serta warna yang pelbagai. Pelajar yang berumur tujuh tahun sehingga sembilan tahun sememangnya sangat tertarik akan perkara yang menarik, berwarna-warni dan dalam bentuk permainan. Hal ini akan menjadikan pelajar lebih fokus dan berminat untuk meneruskan pembacaan dan bersesuaian dengan manfaat bahan bantuan mengajar ini dibina iaitu untuk mengekalkan minat pelajar terhadap bahan bacaan.

          Tambahan pula, bahan bantuan mengajar yang dibina adalah berada pada aras yang rendah iaitu pada tahap pembacaan suku kata sahaja. Bersesuaian dengan teknik baca dan gema yang memerlukan guru untuk menyediakan bahan bacaan yang berada di tahap rendah dan sekiranya pelajar semakin mahir maka bahan bacaan tersebut akan dinaik taraf ke tahap yang lebih tinggi secara berperingkat-peringkat. Guru akan memberi arahan terlebih dahulu supaya pelajar tidak berasa terbeban untuk menghabiskan bahan bacaan dan mengenai soalan yang disediakan. Peranan guru sangat penting supaya pelajar berani untuk menyuarakan masalah yang mereka hadapi. Apabila pelajar berani menyuarakan masalah yang dihadapi, guru akan bertindak memikirkan cara yang bersesuaian untuk menyeselaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, jika pelajar tersebut kurang berminat dalam aktiviti bacaan yang bersifat terlampau panjang dan kompleks, guru perlu menguna pakai bahan bantuan mengajar yang menarik. Bahan bantuan mengajar permainan puzzle "Jom Baca" sangat bersesuaian untuk diaplikasikan kerana pelajar hanya perlu memahami bahan bacaan serta meneliti setiap patah perkataan dengan baik dan cermat.

         Berdasarkan teknik baca gema, guru akan meletakkan jari bawah perkataan dan bergerak seiring supaya pelajar lebih fokus. Dengan cara meletakkan jari di bawah perkataan yang dibaca pelajar akan berhasil secara perlahanlahan untuk mengenal pasti suku kata setiap perkataan dengan baik. Sekiranya pelajar sukar untuk memahami atau salah dalam membentuk suku kata, maka guru boleh memberi peneguhan serta merta dengan cara meningkatkan nada bacaan dan kadar kelajuaan bacaannya. Hal ini akan memberikan kesan positif kepada pelajar kerana mereka berjaya menggunakan deria yang ada semaksimum yang mungkin terutama sekali deria pendengaran (aural) dan deria penglihatan (visual). Oleh itu, jelas dapat dikenal pasti bahawa bahan bantuan mengajar yang diberi nama permainan puzzle "Jom Baca" mendatangkan kesan yang baik kepada pelajar secara berperingkatperingkat dan akhirnya membuahkan hasil yang baik. Pelajar akan lebih fokus dan mampu meningkatkan kemahiran dan kefasihan dalam proses membaca serta secara tidak langsung mampu membantu menambahkan lagi kemahiran sosial pelajar.  

Langkah-langkah Bermain Bahan Bantuan Mengajar (Puzzle "Jom Baca")

1. Guru memberikan satu set puzzle yang di dalamnya mengandungi pelbagai suku kata. Pelajar diberikan masa untuk memerhatikan gambar dan suka kata yang disediakan di atas kertas manila. 


2. Kemudian, guru mengarahkan pelajar secara berpasangana untuk mencari kepingan puzzle yang mengandungi suku kata berdasarkan gambar yang disediakan.


3. Langkah seterusnya, pelajar diminta untuk menyusun kepingan puzzle mengandungi suku kata yang telah dipilih tadi menjadi satu perkataan. Guru perlu memerhati setiap aktiviti yang dilakukan oleh pelajar semasa pelajar menyusun perkataan tersebut. 


4. Kepingan puzzle mengandungi suku kata disusun dan digabungkan membentuk perkataan yang salah oleh pelajar. Jika pelajar menyusun suku kata dengan salah, maka guru perlu membetulkannya menjadi satu perkataan yang betul. 


5. Kemudian, pelajar diberi peluang sekali lagi untuk mencari kepingan puzzle mengandungi suku kata yang betul. Pelajar perlu bergilir-gilir mengeja suku kaya yang betul itu bersama rakannya. 


6. Seterusnya, kepingan puzzle suku kata yang telah dipilih tadi disusun sehingga mendapat satu perkataan yang tepat dan bersesuaian dengan gambar. 


7. Akhir sekali, pelajar berhasilkan menyusun kepingan puzzle suku kata dengan tepat. Kumpulan pasangan yang memerhati, memilih, menyusun, mengeja dan membaca yang paling tepat akan mendapat ganjaran sementara pelajar yang lain turut diberikan hadiah galakkan.   

Bahan-bahan dan Langkah-langkah untuk Membina Bahan Bantuan Mengajar jenis Puzzle


Bahan-bahan
Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat BBM puzzle ini adalah pen penanda (maker pen), kad manila, kertas warna, kertas foam, gunting, dan pita pelekat. Namun, pada pembaca juga boleh menggunakan alat lain atau menambah bahan mengikut kesesuaian dan keativiti masing-masing.

pen penanda dan kertas foam


kertas warna dan kad manila


pita pelekat dan gunting



 Langkah-langkah Pembuatan Bahan Bantuan Mengajar 
Berikut merupakan langkah-langkah pembuatan bahan bantuan mengajar puzzle "Jom baca" :

1. Gunting kertas foam menjadi kepingan puzzle.


2. Bina suku kata yang betul dan salah di atas kertas menggunakan pen penanda.


3. Lekatkan suku kata yang telah dibina di atas kertas foam menggunakan pita pelekat.


4. Lekatkan kertas foam yang mengandungi suku kata tersebut bersama-sama gambar di atas kertas manila dan siap untuk digunakan.



Proses Pemilihan Pembentukan Bahan Bantuan Mengajar

1. Murid membaca ayat tersebut bersama-sama dengan guru. Kemudian, beberapa perkataan di dalam ayat tersebut akan dibentuk menjadi kepingan puzzle suku kata yang diberi nama permainan puzzle "Jom Baca". 


2. Gambar diletakkan pada bahagian tepi dan suku kata diletakkan di tengah-tengah secara rawak, namun kelihatan terlalu padat.


3. Kemudian pembentukkannya diubah kepada bentuk lain, iaitu bahagian kiri diletakkan gambar dan bahagian kanan diletakkan suku kata, namun kelihatan berselerak.



4. Akhir sekali, pembentukkannya diubah kepada bentuk bulatan di mana gambar diletakkan di dalam bulatan dan suku kata diletakkan di sekeliling gambar tersebut.